Ahad, 26 Mac 2017

Kenali Kitab Nihayah al-Muhtaj

Kenali Kitab Mazhab Syafi‘i : Nihayah al-Muhtaj ila Syarh al-Minhaj
Alyasak bin Berhan

Kitab Nihayah al-Muhtaj ila Syarh al-Minhaj (نهاية المحتاج إلي شرح المنهاج) adalah salah sebuah karya fiqah mazhab Syafi‘i yang terkenal dan muktamad di sisi ulama mutaakhirin mazhab Syafi‘i.

Pengarang Kitab

Kitab ini disusun oleh Imam Syamsuddin atau Jamaluddin Muhammad bin Shihabuddin Ahmad bin Hamzah al-Ansari al-Ramli al-Manufi al-Syafi‘i. Beliau mula menyusun Kitab Nihayah al-Muhtaj pada bulan Zulkaedah tahun 963H dan selesai pada malam Jumaat 19 Jamadil Akhir tahun 973H. Beliau adalah seorang yang faqih dan mufti Mesir yang digelar “al-Syafi‘i al-Saghir”. Dikenali juga dengan gelaran “al-Ramli al-Saghir”, manakala bapanya dikenali dengan “al-Ramli al-Kabir”. Antara gurunya adalah bapanya sendiri, iaitu Shihabuddin al-Ramli, Syeikh al-Islam al-Qadhi Zakaria al-Ansari, Syeikh Burhanuddin bin Abu al-Syarif, Syeikh Sa‘duddin Muhammad bin Muhammad al-Zahabi dan lain-lain lagi. Beliau lahir pada tahun 919H di Kaherah dan meninggal dunia tahun 1004H. Antara karyanya yang masyhur adalah seperti Nihayah al-Muhtaj dan Ghayah al-Bayan Syarh Zubad Ibn Raslan. Di dalam kitab-kitab mutaakkhirin Mazhab al-Syafi‘i, beliau dirumuzkan dengan rumuz (isyarat) م ر.

Kedudukan Kitab

Kitab Nihayah al-Muhtaj ini ialah syarah (huraian) kepada Kitab Minhaj al-Talibin, karya Imam al-Nawawi. Ia mempunyai kedudukan yang penting dalam mazhab Syafi‘i sehingga kebanyakan ulama Syafi‘iyyah menjadikan kitab ini sebagai rujukan dan pegangan utama ketika mereka berfatwa dan menjatuhkan hukuman di mahkamah. Bahkan, kitab ini pernah dipelajari daripada pengarangnya sendiri oleh sejumlah tidak kurang daripada empat ratus orang ulama al-Muhaqqiqin sambil dikomentar dan diperbetulkan oleh mereka. Malah, pendapat Imam al-Ramli di dalam Kitab Nihayah al-Muhtaj ini menjadi pegangan (al-Muktamad) dalam Mazhab Syafi‘i terutamanya dalam kalangan ulama al-mutaakkhirin dari Mesir seperti al-Zayyadi, al-Halabi, al-Syaubari, al-‘Inani, al-Qalyubi, al-Shabramallisi atau al-Shubramillisi, al-Rasyidi, al-Jamal, al-Bujairimi, al-Syarqawi, al-Baijuri dan lain-lain. 

Walaubagaimanapun, menurut Syeikh Muhammad Sulaiman al-Kurdi, jika berlaku perselisihan pendapat Imam al-Ramli di dalam Kitab Nihayah al-Muhtaj ini dengan Kitab Syarh al-Idhah berkaitan permasalahan haji, maka pendapat beliau di dalam Kitab Syarh al-Idhah lebih dipegang (muktamad) berbanding pendapat beliau di dalam Kitab Nihayah al-Muhtaj. Hal ini adalah kerana, Kitab Syarh al-Idhah lebih terkemudian dikarang oleh beliau berbanding Kitab Nihayah al-Muhtaj.


Hasyiah Kitab

Antara ulama yang direkodkan pernah menghasyiahkan (huraian) Kitab Nihayah al-Muhtaj ini adalah:

1. Syeikh Nuruddin Ali bin Yahya al-Zayyadi al-Misri (1024H).

2. Syeikh Muhammad bin Abdul Mun'im al-Taifi (1052H).

3. Syeikh Nuruddin Ali bin Ali al-Shabramallisi al-Qahiri (1087H).

4. Syeikh Ahmad bin Abdul Razzaq al-Maghribi yang dikenali dengan panggilan al-Rasyidi (1096H).

5. Syeikh Sulaiman bin Umar al-'Ajili al-Misri yang dikenali dengan panggilan al-Jamal (1204H).

6. Syeikh Khalid bin Husain al-Syahrazuri al-'Uthmani (1242H).

7. Syeikh Muhammad bin Muhammad al-Anbabi al-Azhari (1313H) berjudul Taqrir al-Anbabi 'ala Nihayah al-Muhtaj li al-Ramli.

Walaubagaimanapun, daripada semua hasyiah di atas hanya dua buah hasyiah sahaja yang banyak dicetak bersama-sama Kitab Nihayah al-Muhtaj ini, iaitu Hasyiah Syeikh al-Shabramallisi dan Hasyiah Syeikh al-Rasyidi (8 jilid). Sungguhpun demikian, di zaman ini amat sukar untuk mencari guru-guru yang pernah mempelajari kitab ini serta berkelayakan untuk mengajarnya.
اليسع
Wallahu a‘lam.


1 ulasan: