MATAN SAFINATUN NAJAH
Alyasak bin Berhan
Menurut Syeikh Muhammad bin Abu Bakr bin Abdullah Bazib,
Safinah al-Najah adalah sebuah matan yang tersangat masyhur dalam bab ibadat
hingga bab zakat.
Menurut Syeikh Ahmad al-Hadhrawi al-Makki, di dalam Safinah
al-Najah ini telah dihimpunkan ilmu-ilmu dan teras-teras fiqah mazhab Syafi‘i.
ADAKAH MATAN SAFINATUN NAJAH TERMASUK DALAM KITAB MUKTAMAD
MAZHAB?
Para ulama Mazhab Syafi‘i telah menjadikan Kitab Tuhfah
al-Muhtaj dan Nihayah al-Muhtaj sebagai dua buah kitab rujukan dan sandaran
utama dalam berfatwa. Hal ini kerana pengarang kedua-dua kitab tersebut telah
menjadikan pandangan-pandangan muktamad yang disebutkan di dalam kitab-kitab
karangan Imam al-Nawawi dan Imam al-Rafi‘ei sebagai pegangan fatwa. Asas ini telah
menjadikan Kitab Tuhfah al-Muhtaj dan Nihayah al-Muhtaj sebagai kitab yang
paling utama berbanding kitab-kitab lain.
Menurut Syeikh Sulaiman al-Kurdi, para ulama Mazhab Syafi‘i
telah meneliti kandungan Kitab Tuhfah al-Muhtaj dan Nihayah al-Muhtaj ini. Lalu
mereka mendapati isi kandungan kedua-dua kitab tersebut sebagai teras atau
intisari (‘umdah) berfatwa mengikut Mazhab Syafi‘i radhiallahu anhu. Sehinggakan mereka yang menguasai kedua-dua pendapat dalam
kedua-dua kitab tersebut akan memantapkannya tanpa tarjih lagi.
Sehubungan dengan itu, semua permasalahan hukum fiqah yang
terkandung dalam Matan Safinah al-Najah adalah berdasarkan pendapat yang muktamad
dalam Mazhab Syafi‘i melainkan pada dua (2) masalah hukum sahaja.
Walau bagaimanapun, terdapat lima (5) permasalahan hukum yang
masih diperselisihkan oleh Syeikh Ibn Hajar dan Syeikh al-Ramli yang terkandung
dalam Matan Safinah al-Najah ini. Tiga (3) daripadanya selari dengan pandangan
Syeikh al-Ramli di dalam Kitab Nihayah al-Muhtaj. Manakala dua (2) daripadanya
pula, selari dengan pandangan Syeikh Ibn Hajar di dalam Kitab Tuhfah al-Muhtaj.
Adapun di dalam bab puasa melalui tambahan Matan Safinah
al-Najah oleh Syeikh Nawawi al-Bantani pula, terdapat tiga (3) permasalahan
hukum yang masih diperselisihkan oleh Syeikh Ibn Hajar dan Syeikh al-Ramli. Dua
(2) daripadanya selari dengan pandangan Syeikh al-Ramli di dalam Kitab Nihayah
al-Muhtaj. Manakala satu (1) daripadanya pula, selari dengan pandangan Syeikh
Ibn Hajar di dalam Kitab Fath al-Jawwad.
Oleh itu, semua pendapat daif dan perselisihan pandangan
seperti yang tersebut di atas telahpun kami nyatakan pada nota kaki dalam
Terjemahan Kitab Safinatun Najah susunan kami. Justeru, sesiapa yang ingin mengetahui
perincian berkaitannya, bolehlah rujuk di dalam terjemahan tersebut.
اليسع
Wallahu a‘lam.