Kenali Kitab Mazhab Syafi‘i : Syarh Jalal al-Din al-Mahalli ‘ala Minhaj
al-Talibin
Alyasak bin Berhan
Biodata Ringkas Pengarang
Nama
penuhnya ialah Abu Abdullah Muhammad bin Ahmad al-Mahalli al-Ansari. Beliau
lahir di Kaherah pada bulan Syawal tahun 791 hijriah bersamaan tahun 1389
masihi. Beliau lebih dikenali dengan panggilan Imam Jalaluddin al-Mahalli,
iaitu dinisbahkan kepada Mahallah Kubra, wilayah Gharbiyyah, Mesir.
Imam
Ibn al-‘Imad pernah menggelar beliau dengan gelaran ‘Taftazani Arab’ lantaran
kecerdikan dan kefahaman yang dimilikinya. Antara gurunya adalah bapanya
sendiri, iaitu Abu al-Abbas Ahmad bin Muhammad al-Mahalli (salah seorang faqih
Mazhab Syafi‘i), Imam Burhanuddin Ibrahim bin Musa al-Anbasi, Imam Ibn
al-Mulaqqin, Imam Abu Hafs al-Bulqini, Imam Abu Zur‘ah Waliyuddin al-‘Iraqi,
al-Hafiz Ibn Hajar dan lain-lain lagi.
Antara
ulama yang pernah menimba ilmu daripada beliau adalah seperti Imam Ibn ‘Atif
al-Yamani, Imam Ibn al-Farra’ al-Hanafi, Imam al-Sakhawi, Imam al-Suyuti, Imam
al-Asymuni, Imam Abu al-Fath al-Qalqashandi, Imam Ibn Abi al-Syarif dan
seumpamanya.
Antara
karyanya yang masyhur adalah seperti sebahagian Tafsir al-Jalalain
(tafsir surah al-Fatihah serta sebahagian awal surah al-Baqarah dan dari surah
al-Kahfi hingga akhir al-Quran), al-al-Badr al-Tali‘ Syarh Jam‘ al-Jawami‘,
Syarh al-Waraqat, Syarh Minhaj al-Talibin dan lain-lain lagi. Di dalam
kitab-kitab mutaakkhirin Mazhab al-Syafi‘i, beliau dirumuzkan dengan rumuz
(isyarat) al-Syarih (dengan Alif serta Lam) atau al-Syarih
al-Muhaqqiq.
Imam
Abu Abdullah Muhammad bin Ahmad al-Mahalli al-Ansari telah wafat pada hari
Sabtu pertama tahun 864 hijriah. Al-Fatihah.
Kitab Syarh Jalal al-Din al-Mahalli ‘ala Minhaj al-Talibin.
Kitab
Syarh Jalal al-Din al-Mahalli ‘ala Minhaj al-Talibin adalah salah satu
karya fiqah mazhab Syafi‘i yang terkenal dan di antara rujukan utama ulama
mutaakhirin mazhab Syafi‘i. Kitab ini disusun oleh Imam Jalal al-Din al-Mahalli selama lebih kurang sepuluh tahun bagi menghuraikan Matan Minhaj al-Talibin, karya Imam Abu Zakaria
Muhyiddin Yahya bin Syaraf al-Nawawi. Kitab ini masyhur dengan nama Kanz
al-Raghibin Syarh Minhaj al-Talibin.
Namun,
ulama berbeza pandangan tentang individu yang telah memberikan nama tersebut.
Menurut salah seorang ulama Empayar Uthmaniah pada kurun ke-11 hijriah, iaitu Syeikh
Mustafa bin Abdullah al-Istanbuli (Haji Khalifah), individu yang telah memberikan nama tersebut ialah
pengarangnya sendiri.
Walau
bagaimanapun, menurut Syeikh Ahmad Maiqari Syumailah al-Ahdal pula, Imam Jalal
al-Din al-Mahalli tidak pernah menamakan kitab tersebut dengan judul Kanz
al-Raghibin Syarh Minhaj al-Talibin. Malah, tidak ditemui juga dalam
kalangan murid-murid pengarang seperti Imam al-Sakhawi dan Imam al-Suyuti yang
pernah menyebut judul berkenaan. Oleh kerana itu, ramai tok-tok guru lama hanya
menamakan kitab ini dengan nama “Syarh Mahalli” sahaja.
Sungguhpun
demikian, kitab ini tetap masyhur dengan judul Kanz al-Raghibin Syarh Minhaj
al-Talibin. Barangkali ia berasal daripada pandangan Syeikh Mustafa bin
Abdullah al-Istanbuli (Haji Khalifah) di atas, yang cukup dikenali sebagai
salah seorang ulama yang luas telaah dan penelitiannya terhadap karya-karya manuskrip.
Secara tidak langsung ia bertepatan dengan kaedah “الْمُثْبِتُ
مُقَدَّمٌ عَلَى النَّفْيِ” (pensabitan didahulukan ke atas nafi).
Antara
faktor yang menjadikan kitab ini istimewa dalam kalangan ulama mutaakhirin
mazhab Syafi‘i adalah:
1. Kehebatan pengarangnya, iaitu Imam Jalaluddin al-Mahalli yang terkenal
dengan penguasaan ilmu Naqliyyah dan ‘Aqliyyah.
2. Pengarang telah menghuraikan dan menjelaskan Matan Minhaj al-Talibin
dengan penjelasan yang ringkas dan tidak menjela-jela mengikut kehendak
pengarang asal matan. Selain itu, beliau juga telah mengemukakan beberapa
faedah tambahan untuk menyempurnakan huraiannya.
3. Kitab ini menghimpunkan fiqah, dalil-dalil dan alasan-alasan hukum (‘illat)
bagi setiap permasalahan fiqah yang dihuraikannya.
4. Mengkritik sesetengah permasalahan fiqah dalam Matan Minhaj
al-Talibin secara beradab menonjolkan lagi penguasaan dan kekuatan ilmu
yang dimilikinya.
5. Mengemukakan beberapa pandangan di dalam Mazhab Syafi‘i tentang sesuatu
perbahasan hukum fiqah selain pandangan yang kuat di sisi Mazhab Syafi‘i.
Disebutkan oleh Imam Ahmad bin Hasan al-‘Attas, bahawa sesiapa yang ingin tahqiq tentang sesuatu masalah fiqah, maka hendaklah dia merujuk kepada Kitab Syarh Jalal al-Din al-Mahalli ‘ala Minhaj al-Talibin ini.
Kitab ini biasanya digunakan sebagai silibus pengajian fiqah Mazhab Syafi‘i peringkat tinggi di beberapa pusat pengajian Islam seperti di al-Azhar, Mesir, di Yaman (seperti di Al-Marawi‘ah dan Tareem), Iraq, Madrasah al-Sawlatiyyah, Mekah dan pondok-pondok di nusantara.
Kitab ini biasanya digunakan sebagai silibus pengajian fiqah Mazhab Syafi‘i peringkat tinggi di beberapa pusat pengajian Islam seperti di al-Azhar, Mesir, di Yaman (seperti di Al-Marawi‘ah dan Tareem), Iraq, Madrasah al-Sawlatiyyah, Mekah dan pondok-pondok di nusantara.
Antara
ulamak yang direkodkan pernah menghasyiahkan (huraian) Kitab Syarh Jalal
al-Din al-Mahalli ‘ala Minhaj al-Talibin ini adalah:
1. Syeikh Muhammad bin Abdul Rahman bin Ahmad bin Muhammad bin Ahmad
al-Bakri (891h) berjudul al-Ibtihaj bi Hawasyi al-Minhaj.
2. Syeikh Ali bin Hasan bin Yusuf al-Arbali al-Haskafi (Ibn al-Suyufi)
(925h).
3. Syeikh Abdul Haq bin Muhammad al-Sunbati (931h), iaitu salah seorang
guru kepada Syeikh Ibn Hajar.
4. Syeikh Ahmad al-Barallusi al-Misri (‘Amirah) (957h).
5. Syeikh Muhammad bin Muhammad al-Ghuzzi al-‘Amiri (984h).
6. Syeikh Ahmad bin Qasim al-‘Abbadi (994h).
7. Syeikh Muhammad bin Muhammad al-Kurkhi (1006h).
8. Syeikh Zainuddin bin Abdul Rauf al-Munawi al-Qahiri (1022h).
9. Syeikh Nuruddin Ali bin Ibrahim al-Halabi (1044h).
10. Syeikh Muhammad bin al-Naqib
al-Bairuti (1064h) berjudul Fath al-Tajalli ‘ala al-Minhaj wa al-Mahalli.
11. Syeikh Ahmad bin Ahmad bin
Salamah al-Qalyubi (1069h).
12. Syeikh Abdul Bar bin Abdullah
al-Ajhuri (1070h).
13. Syeikh Ali al-Munir (ulama kurun
ke-11 hijriah) berjudul al-Kasyf al-Majalli li Kalam al-Minhaj wa al-Syarih
al-Mahalli.
14. Syeikh Muhammad bin Khalf bin
Muhammad al-Misri al-Syazuli.
15. Syeikh Abdul Rahman bin Muhammad
al-Syirbini (1326h), iaitu Taqrirat bagi Syarh Jalal al-Din
al-Mahalli.
Walaubagaimanapun,
daripada semua hasyiah di atas hanya dua buah hasyiah sahaja yang banyak
dicetak bersama-sama Kitab Syarh Jalal al-Din al-Mahalli ‘ala Minhaj
al-Talibin ini, iaitu Hasyiah Syeikh al-Qalyubi dan Hasyiah Syeikh ‘Amirah.
اليسع
Wallahu
a‘lam.