Rabu, 6 November 2019

Hukum Makan Siput Gondang


PANDUAN HUKUM: HUKUM MAKAN SIPUT GONDANG 
Alyasak Berhan

Menurut Syeikh Zainul Abidin bin Muhammad al-Fatani (Tuan Minal), secara umumnya semua jenis siput yang hanya hidup di dalam air halal dimakan selagi ia tidak memabukkan atau beracun.

Namun, ulama Alam Melayu berbeza pandangan tentang hukum makan siput gondang. 

Menurut Syeikh Arsyad al-Banjari, siput gondang haram dimakan kerana ia termasuk dalam kategori haiwan yang hidup dua alam. Hal ini kerana ia boleh hidup kekal di darat.

Adapun menurut Tuan Minal dan Syeikh Ahmad al-Fatani, siput gondang halal dimakan kerana ia tidak termasuk dalam kategori binatang yang boleh hidup dua alam.

Hal ini kerana, menurut Syeikh Ahmad al-Fatani, ketentuan haiwan hidup dua alam yang haram dimakan ialah haiwan yang hidup di dalam air dan di atas darat serta ia pandai mencari makanan di air dan di darat.

Oleh itu, siput gondang halal dimakan kerana ia tidak pandai mencari makanan di atas darat sepertimana ia mencari makanan di dalam air. 

Walaupun siput gondang ini boleh hidup lama di darat, namun hal ini adalah disebabkan ada basahan dan cecair di dalam kulitnya. Justeru, apabila siput gondang  ini diterbalikkan ke atas, nescaya ia akan cepat mati.

Bahkan, siput gondang ini juga mampu hidup di dalam tanah dalam tempoh masa yang lama sehingga tanah tersebut kembali berair sebelum ia keluar semula. Namun, keadaan hidupnya di dalam tanah tersebut hanya sebagai harakat mazbuh (berkeadaan lemah dan seolah-olah sudah mati, iaitu tiada lagi padanya suara, penglihatan dan pergerakan mengikut kehendaknya) sahaja.

Inilah pandangan Tuan Minal dan Syeikh Ahmad al-Fatani yang telah mengikut fatwa beberapa ulama besar di Mesir seperti Syeikh Abdul Hadi al-Anbar al-Misri kerana dikiaskan dengan halal memakan kerang. Sedangkan Syeikh al-Ramli telah memfatwakan secara jelas tentang keharusan memakan kerang.

Selain itu, dikiaskan juga dengan halal memakan sejenis siput yang terdapat di negara Mesir yang menyerupai siput gondang, namun saiznya kecil sedikit.

Begitu juga halal memakan siput yang bersaiz lebih kecil daripada gondang serta mempunyai rupa bentuk dan tabiat sepertimana siput gondang ini. 
اليسع
Wallahu a'lam.

Ahad, 9 Jun 2019

Adakah Matan Safinatun Najah Muktamad?


MATAN SAFINATUN NAJAH
Alyasak bin Berhan

Menurut Syeikh Muhammad bin Abu Bakr bin Abdullah Bazib, Safinah al-Najah adalah sebuah matan yang tersangat masyhur dalam bab ibadat hingga bab zakat.

Menurut Syeikh Ahmad al-Hadhrawi al-Makki, di dalam Safinah al-Najah ini telah dihimpunkan ilmu-ilmu dan teras-teras fiqah mazhab Syafi‘i.

ADAKAH MATAN SAFINATUN NAJAH TERMASUK DALAM KITAB MUKTAMAD MAZHAB?

Para ulama Mazhab Syafi‘i telah menjadikan Kitab Tuhfah al-Muhtaj dan Nihayah al-Muhtaj sebagai dua buah kitab rujukan dan sandaran utama dalam berfatwa. Hal ini kerana pengarang kedua-dua kitab tersebut telah menjadikan pandangan-pandangan muktamad yang disebutkan di dalam kitab-kitab karangan Imam al-Nawawi dan Imam al-Rafi‘ei sebagai pegangan fatwa. Asas ini telah menjadikan Kitab Tuhfah al-Muhtaj dan Nihayah al-Muhtaj sebagai kitab yang paling utama berbanding kitab-kitab lain.

Menurut Syeikh Sulaiman al-Kurdi, para ulama Mazhab Syafi‘i telah meneliti kandungan Kitab Tuhfah al-Muhtaj dan Nihayah al-Muhtaj ini. Lalu mereka mendapati isi kandungan kedua-dua kitab tersebut sebagai teras atau intisari (‘umdah) berfatwa mengikut Mazhab Syafi‘i radhiallahu anhu. Sehinggakan mereka yang menguasai kedua-dua pendapat dalam kedua-dua kitab tersebut akan memantapkannya tanpa tarjih lagi.

Sehubungan dengan itu, semua permasalahan hukum fiqah yang terkandung dalam Matan Safinah al-Najah adalah berdasarkan pendapat yang muktamad dalam Mazhab Syafi‘i melainkan pada dua (2) masalah hukum sahaja.

Walau bagaimanapun, terdapat lima (5) permasalahan hukum yang masih diperselisihkan oleh Syeikh Ibn Hajar dan Syeikh al-Ramli yang terkandung dalam Matan Safinah al-Najah ini. Tiga (3) daripadanya selari dengan pandangan Syeikh al-Ramli di dalam Kitab Nihayah al-Muhtaj. Manakala dua (2) daripadanya pula, selari dengan pandangan Syeikh Ibn Hajar di dalam Kitab Tuhfah al-Muhtaj.

Adapun di dalam bab puasa melalui tambahan Matan Safinah al-Najah oleh Syeikh Nawawi al-Bantani pula, terdapat tiga (3) permasalahan hukum yang masih diperselisihkan oleh Syeikh Ibn Hajar dan Syeikh al-Ramli. Dua (2) daripadanya selari dengan pandangan Syeikh al-Ramli di dalam Kitab Nihayah al-Muhtaj. Manakala satu (1) daripadanya pula, selari dengan pandangan Syeikh Ibn Hajar di dalam Kitab Fath al-Jawwad.

Oleh itu, semua pendapat daif dan perselisihan pandangan seperti yang tersebut di atas telahpun kami nyatakan pada nota kaki dalam Terjemahan Kitab Safinatun Najah susunan kami. Justeru, sesiapa yang ingin mengetahui perincian berkaitannya, bolehlah rujuk di dalam terjemahan tersebut.
اليسع
Wallahu a‘lam.

Sabtu, 1 Jun 2019

Terjemahan Safinatun Najah



Kitab Terbaru!!!
Terjemahan Matan Safinah al-Najah

Kategori: Fiqah
Pengarang : Syeikh Salim bin Sumair al-Hadhrami

Penterjemah : Us. Alyasak bin Berhan

Ukuran : 6in x 9in
Tebal : 114 hlm
Penerbit : Persatuan Alumni Huffaz Negeri Sembilan
ISBN : 978-967-17193-0-5
Harga : RM12.00

Antara kelainan yang terdapat dalam terjemahan ini:

1. Memulakan terjemahan dengan pengenalan kitab dan biografi pengarang kitab.
2. Menterjemahkan teks asal kitab ke dalam Bahasa Melayu berdasarkan terjemahan makna secara bebas tanpa terikat dengan terjemahan lama dan mengabaikan maksud sebenar yang ingin disampaikan oleh penulis asal kitab.
3. Memberikan makna ringkas dan menyatakan perbezaan baris bacaan bagi kosa kata (perbendaharaan kata) yang difikirkan perlu.
4. Meletakkan tajuk yang sesuai bagi setiap perbincangan hukum supaya lebih mudah difahami.
5. Mengemukakan perbezaan pendapat antara ulama mutaakkhirin (terkemudian) tentang perbincangan hukum fiqah yang telah disebutkan oleh pengarang, terutamanya perbezaan pendapat antara Syeikh Ibn Hajar dan Syeikh al-Ramli.
6. Mengemukakan ukuran moden berdasarkan Unit Sistem Antarabangsa (SI) pada kenyataan pengarang tentang 2 qullah, 300 hasta dan 2 marhalah.
7. Menyertakan tambahan bab puasa yang telah disusun oleh Syeikh Muhammad Nawawi bin Umar al-Bantani.

Stok terhad...

Dapatkan segera selagi stok masih ada.

Whatsapp kami :-

Selamat membaca!!!

Selasa, 7 Mei 2019

Syarh Jalal al-Din al-Mahalli ‘ala Minhaj al-Talibin



Kenali Kitab Mazhab Syafi‘i : Syarh Jalal al-Din al-Mahalli ‘ala Minhaj al-Talibin 
Alyasak bin Berhan

Biodata Ringkas Pengarang

Nama penuhnya ialah Abu Abdullah Muhammad bin Ahmad al-Mahalli al-Ansari. Beliau lahir di Kaherah pada bulan Syawal tahun 791 hijriah bersamaan tahun 1389 masihi. Beliau lebih dikenali dengan panggilan Imam Jalaluddin al-Mahalli, iaitu dinisbahkan kepada Mahallah Kubra, wilayah Gharbiyyah, Mesir.

Imam Ibn al-‘Imad pernah menggelar beliau dengan gelaran ‘Taftazani Arab’ lantaran kecerdikan dan kefahaman yang dimilikinya. Antara gurunya adalah bapanya sendiri, iaitu Abu al-Abbas Ahmad bin Muhammad al-Mahalli (salah seorang faqih Mazhab Syafi‘i), Imam Burhanuddin Ibrahim bin Musa al-Anbasi, Imam Ibn al-Mulaqqin, Imam Abu Hafs al-Bulqini, Imam Abu Zur‘ah Waliyuddin al-‘Iraqi, al-Hafiz Ibn Hajar dan lain-lain lagi.

Antara ulama yang pernah menimba ilmu daripada beliau adalah seperti Imam Ibn ‘Atif al-Yamani, Imam Ibn al-Farra’ al-Hanafi, Imam al-Sakhawi, Imam al-Suyuti, Imam al-Asymuni, Imam Abu al-Fath al-Qalqashandi, Imam Ibn Abi al-Syarif dan seumpamanya.

Antara karyanya yang masyhur adalah seperti sebahagian Tafsir al-Jalalain (tafsir surah al-Fatihah serta sebahagian awal surah al-Baqarah dan dari surah al-Kahfi hingga akhir al-Quran), al-al-Badr al-Tali‘ Syarh Jam‘ al-Jawami‘, Syarh al-Waraqat, Syarh Minhaj al-Talibin dan lain-lain lagi. Di dalam kitab-kitab mutaakkhirin Mazhab al-Syafi‘i, beliau dirumuzkan dengan rumuz (isyarat) al-Syarih (dengan Alif serta Lam) atau al-Syarih al-Muhaqqiq.

Imam Abu Abdullah Muhammad bin Ahmad al-Mahalli al-Ansari telah wafat pada hari Sabtu pertama tahun 864 hijriah. Al-Fatihah.

Kitab Syarh Jalal al-Din al-Mahalli ‘ala Minhaj al-Talibin.

Kitab Syarh Jalal al-Din al-Mahalli ‘ala Minhaj al-Talibin adalah salah satu karya fiqah mazhab Syafi‘i yang terkenal dan di antara rujukan utama ulama mutaakhirin mazhab Syafi‘i. Kitab ini disusun oleh Imam Jalal al-Din al-Mahalli selama lebih kurang sepuluh tahun bagi menghuraikan Matan Minhaj al-Talibin, karya Imam Abu Zakaria Muhyiddin Yahya bin Syaraf al-Nawawi. Kitab ini masyhur dengan nama Kanz al-Raghibin Syarh Minhaj al-Talibin.

Namun, ulama berbeza pandangan tentang individu yang telah memberikan nama tersebut. Menurut salah seorang ulama Empayar Uthmaniah pada kurun ke-11 hijriah, iaitu Syeikh Mustafa bin Abdullah al-Istanbuli (Haji Khalifah), individu yang  telah memberikan nama tersebut ialah pengarangnya sendiri.

Walau bagaimanapun, menurut Syeikh Ahmad Maiqari Syumailah al-Ahdal pula, Imam Jalal al-Din al-Mahalli tidak pernah menamakan kitab tersebut dengan judul Kanz al-Raghibin Syarh Minhaj al-Talibin. Malah, tidak ditemui juga dalam kalangan murid-murid pengarang seperti Imam al-Sakhawi dan Imam al-Suyuti yang pernah menyebut judul berkenaan. Oleh kerana itu, ramai tok-tok guru lama hanya menamakan kitab ini dengan nama “Syarh Mahalli” sahaja.

Sungguhpun demikian, kitab ini tetap masyhur dengan judul Kanz al-Raghibin Syarh Minhaj al-Talibin. Barangkali ia berasal daripada pandangan Syeikh Mustafa bin Abdullah al-Istanbuli (Haji Khalifah) di atas, yang cukup dikenali sebagai salah seorang ulama yang luas telaah dan penelitiannya terhadap karya-karya manuskrip. Secara tidak langsung ia bertepatan dengan kaedah “الْمُثْبِتُ مُقَدَّمٌ عَلَى النَّفْيِ(pensabitan didahulukan ke atas nafi).

Antara faktor yang menjadikan kitab ini istimewa dalam kalangan ulama mutaakhirin mazhab Syafi‘i adalah:

1. Kehebatan pengarangnya, iaitu Imam Jalaluddin al-Mahalli yang terkenal dengan penguasaan ilmu Naqliyyah dan ‘Aqliyyah.
2. Pengarang telah menghuraikan dan menjelaskan Matan Minhaj al-Talibin dengan penjelasan yang ringkas dan tidak menjela-jela mengikut kehendak pengarang asal matan. Selain itu, beliau juga telah mengemukakan beberapa faedah tambahan untuk menyempurnakan huraiannya.
3. Kitab ini menghimpunkan fiqah, dalil-dalil dan alasan-alasan hukum (‘illat) bagi setiap permasalahan fiqah yang dihuraikannya. 
4. Mengkritik sesetengah permasalahan fiqah dalam Matan Minhaj al-Talibin secara beradab menonjolkan lagi penguasaan dan kekuatan ilmu yang dimilikinya.
5. Mengemukakan beberapa pandangan di dalam Mazhab Syafi‘i tentang sesuatu perbahasan hukum fiqah selain pandangan yang kuat di sisi Mazhab Syafi‘i.


Disebutkan oleh Imam Ahmad bin Hasan al-Attas, bahawa sesiapa yang ingin tahqiq tentang sesuatu masalah fiqah, maka hendaklah dia merujuk kepada Kitab Syarh Jalal al-Din al-Mahalli ‘ala Minhaj al-Talibin ini. 

Kitab ini biasanya digunakan sebagai silibus pengajian fiqah Mazhab Syafi‘i peringkat tinggi di beberapa pusat pengajian Islam seperti di al-Azhar, Mesir, di Yaman (seperti di Al-Marawi‘ah dan Tareem), Iraq, Madrasah al-Sawlatiyyah, Mekah dan pondok-pondok di nusantara.


Antara ulamak yang direkodkan pernah menghasyiahkan (huraian) Kitab Syarh Jalal al-Din al-Mahalli ‘ala Minhaj al-Talibin ini adalah:

1. Syeikh Muhammad bin Abdul Rahman bin Ahmad bin Muhammad bin Ahmad al-Bakri (891h) berjudul al-Ibtihaj bi Hawasyi al-Minhaj.

2. Syeikh Ali bin Hasan bin Yusuf al-Arbali al-Haskafi (Ibn al-Suyufi) (925h).

3. Syeikh Abdul Haq bin Muhammad al-Sunbati (931h), iaitu salah seorang guru kepada Syeikh Ibn Hajar.

4. Syeikh Ahmad al-Barallusi al-Misri (‘Amirah) (957h).

5. Syeikh Muhammad bin Muhammad al-Ghuzzi al-‘Amiri (984h).

6. Syeikh Ahmad bin Qasim al-‘Abbadi (994h).

7. Syeikh Muhammad bin Muhammad al-Kurkhi (1006h).

8. Syeikh Zainuddin bin Abdul Rauf al-Munawi al-Qahiri (1022h).

9. Syeikh Nuruddin Ali bin Ibrahim al-Halabi (1044h).

10. Syeikh Muhammad bin al-Naqib al-Bairuti (1064h) berjudul Fath al-Tajalli ‘ala al-Minhaj wa al-Mahalli.

11. Syeikh Ahmad bin Ahmad bin Salamah al-Qalyubi (1069h).

12. Syeikh Abdul Bar bin Abdullah al-Ajhuri (1070h).

13. Syeikh Ali al-Munir (ulama kurun ke-11 hijriah) berjudul al-Kasyf al-Majalli li Kalam al-Minhaj wa al-Syarih al-Mahalli.

14. Syeikh Muhammad bin Khalf bin Muhammad al-Misri al-Syazuli.

15. Syeikh Abdul Rahman bin Muhammad al-Syirbini (1326h), iaitu Taqrirat bagi Syarh Jalal al-Din al-Mahalli.

Walaubagaimanapun, daripada semua hasyiah di atas hanya dua buah hasyiah sahaja yang banyak dicetak bersama-sama Kitab Syarh Jalal al-Din al-Mahalli ‘ala Minhaj al-Talibin ini, iaitu Hasyiah Syeikh al-Qalyubi dan Hasyiah Syeikh ‘Amirah.
اليسع
Wallahu a‘lam.