PANDUAN HUKUM: HUKUM MEMBURU DENGAN SENJATAPI
Alyasak Berhan
Hukum Memburu Menggunakan Senjatapi
Menurut ulama Mazhab Syafi'i, menembak binatang dengan menggunakan senjatapi hukumnya adalah haram kerana ia boleh menyebabkan kebinasaan terhadap binatang tersebut. Malah ia dikira sebagai perbuatan membunuh binatang secara sia-sia, walhal hukumnya adalah haram.
Selain itu, peluru senjatapi juga tidak termasuk dalam kategori senjata tajam yang harus digunakan untuk menyembelih dan memburu.
Selain itu, peluru senjatapi juga tidak termasuk dalam kategori senjata tajam yang harus digunakan untuk menyembelih dan memburu.
Disebutkan dalam Fath al-Muin;
فيحرم ما مات بثقل ما أصابه من محدد أو غيره
كبندقة وإن أنهر الدم وأبان الرأس
"Maka haram apa yang mati dengan sebab berat apa yang menimpanya, daripada benda tajam atau selainnya seperti peluru sekalipun ia boleh mengalirkan darah dan memutuskan kepala..."
ويحرم
قطعا رمي الصيد بالبندق المعتاد الآن - وهو ما يصنع بالحديد ويرمى بالنار - لانه
محرق مذفف سريعا غالبا.
قال شيخنا: نعم، إن علم حاذق أنه إنما يصيب نحو جناح كبير: فيشقه فقط، احتمل الجواز
"Haram secara pasti menembak binatang buruan dengan peluru yang biasa sekarang ini. Ianya adalah apa yang diperbuat daripada besi dan dilontarkan dengan api (senjatapi) kerana ia membakar lagi mengeluarkan nyawa dengan cepat pada ghalibnya. Kata syeikh kami, bahkan jika seorang yang cekap mengetahui bahawa ia hanya mengenai umpama kepak yang besar (hanya mencederakan), maka ia mengoyakkannya sahaja, ditanggungkan harusnya."
Walau bagaimanapun, jika penembak tersebut seorang yang mahir dan mengetahui bahawa tembakannya itu hanya mencederakan binatang tersebut sehingga ia dapat disembelih dalam keadaan masih mempunyai hayat mustaqirrah (nyawa yang tetap), maka hukumnya adalah harus.
Justeru, harus memburu binatang dengan menggunakan senjatapi jika binatang tersebut masih mempunyai hayat mustaqirrah (nyawa yang tetap) selepas ia ditembak dan sempat disembelih. Misalnya seperti binatang itu besar dan tidak segera mati selepas ia ditembak atau ia ditembak di bahagian yang hanya mencederakan dan tidak terus mematikannya.
Status Binatang yang Ditembak
Jika binatang yang ditembak didapati masih mempunyai hayat mustaqirrah kemudian ia disembelih mengikut syarak, maka binatang buruan tersebut halal dimakan.
Sebaliknya, jika didapati binatang tersebut tidak mempunyai hayat mustaqirrah lagi, maka ia tidak halal dimakan. Hal ini kerana, binatang yang ditembak peluru senapang dan mati disebabkan tembakan peluru itu, ia dikira sebagai bangkai dan tidak halal dimakan.
Menurut Syeikh al-Azhar ke-19, Syeikh Ibrahim al-Baijuri, binatang buruan yang ditembak dengan senapang semata-mata, tidak halal dimakan, kerana binatang itu mati dengan sebab dihempap oleh peluru itu. Walhal peluru berkenaan bukan alat yang tajam seperti mata pisau dan binatang buruan itu mati dengan sebab peluru itu adalah bangkai yang dinamakan bangkai mauquzah (yang mati dipukul atau dihempap).
Manakala menurut pendapat ulama Mazhab Maliki pula, harus memburu binatang dengan menggunakan senjatapi dan binatang buruan tersebut halal dimakan dengan syarat penembak bertasmiah (menyebut nama Allah) ketika menembaknya. Namun, jika penembak meninggalkan tasmiah (menyebut nama Allah) kerana terlupa, nescaya ia halal dimakan sepertimana yang telah
difatwakan oleh Syeikh Husain bin Ibrahim al-Maliki al-Azhari, Mufti Mazhab Maliki di Mekah pada
zamannya (salah seorang murid Syeikh Ibrahim al-Baijuri).
اليسع
Wallahu a'lam.
Rujukan:
- Hasyiah al-Baijuri
- Hasyiah I'anah al-Talibin
- Tarsyih al-Mustafidin
- Fatwa Dato' Said Alwe bin Tahir al-Haddad, Mufti Kerajaan Negeri Johor
- Fatwa Mufti Kerajaan Negara Brunei siri 30/1987