Blogger Tolib al-'Ilm
الهي أنت مقصودي ورضاك مطلوبي أعطني محبتك ومعرفتك
Jumaat, 4 April 2025
Buku 41 Perisai Rasulullah ﷺ
Isnin, 17 April 2023
PANDUAN HUKUM: AFDAL SOLAT SUNAT HARI RAYA DI MASJID
PANDUAN HUKUM: AFDAL SOLAT SUNAT HARI RAYA DI MASJID
Alyasak Berhan
Secara asasnya, solat sunat hari raya harus dilaksanakan di
mana-mana tempat yang bersesuaian. Walau bagaimanapun, ulama berbeza pandangan
tentang tempat yang paling afdal untuk melaksanakannya.
Menurut pandangan ulama Mazhab Syafi‘i yang muktamad, melaksanakan solat sunat hari raya di masjid adalah awla (lebih utama) dan afdal berbanding tanah lapang jika masjid tersebut masih mampu menampung jemaah. Inilah pandangan yang telah dinaskan oleh Imam al-Syafi‘i dalam Kitab al-Umm, pandangan Imam al-Syirazi, majoriti al-‘Iraqiyyun (ulama Iraq), Imam al-Baghawi dan lain-lain.
Bahkan, melaksanakannya di tempat selain masjid hukumnya adalah khilaf
al-awla (bertentangan dengan yang lebih utama).
Disebutkan oleh Imam al-Nawawi :
وَفِعْلُهَا بِالْمَسْجِدِ أَفْضَلُ
“Melakukannya (solat sunat hari raya) di masjid adalah afdal."
Ini kerana masjid lebih mulia daripada tempat lain sepertimana
diriwayatkan daripada Abu Hurairah radiallahu anhu, Rasulullah sollallahu
alaihi wasallam bersabda :
أَحَبُّ الْبِلَادِ إِلَى اللَّهِ مَسَاجِدُهَا
وَأَبْغَضُ الْبِلَادِ إِلَى اللَّهِ أَسْوَاقُهَا
“Tempat yang paling
dikasihi oleh Allah di sesuatu negeri ialah masjidnya dan tempat yang paling
dimurkai oleh Allah di sesuatu negeri ialah pasarnya."(Riwayat Muslim).
Diriwayatkan daripada Ibn
Umar radiallahu anhuma, Rasulullah sollallahu alaihi wasallam bersabda :
وَإِنَّ خَيْرَ الْبِقَاعِ الْمَسَاجِدُ وَشَرَّ
الْبِقَاعِ الأَسْوَاقُ
“Sesungguhnya sebaik-baik tempat ialah masjid-masjid dan
seburuk-buruk tempat ialah pasar-pasar.”(Riwayat Ibn Hibban,
al-Tabarani, al-Hakim).
Meskipun Rasulullah sollallahu alaihi wasallam pernah melaksanakan
solat hari raya di tanah lapang, namun ia adalah disebabkan keadaan masjidnya
yang sempit dan tidak mampu menampung para jemaah ketika itu. Sedangkan
sebagaimana yang dimaklumi, bahawa solat sunat hari raya disyariatkan kepada
lelaki, perempuan dan semua mukallaf dilakukan secara berjemaah.
Justeru, apabila sesuatu masjid mempunyai keluasan yang masih mampu
menampung jemaah dengan selesa dan tenang, maka kelebihan solat sunat hari raya
di tanah lapang tidak lagi bermakna.
Selain daripada itu, para jemaah yang bersolat di masjid juga akan berpeluang memperolehi pahala beribadat dan beriktikaf di dalam masjid. Malah, ia bertujuan memberikan keselesaan dan kemudahan bagi jemaah untuk menghadirinya. Ia juga untuk mengelakkan hujan dan seumpamanya. Oleh kerana itu, makruh melakukan solat raya di kawasan tanah lapang jika berlaku hujan dan seumpamanya.
Menurut Imam al-Ardabili, solat sunat hari raya sunat
dihimpunkan di satu tempat. Hal ini kerana makruh berbilang-bilang solat
sunat hari raya tanpa apa-apa keperluan. Bahkan, pihak pemerintah berhak
menegah berbilang-bilang solat sunat hari raya di satu tempat tanpa apa-apa
keperluan.
اليسع
Wallahu a‘lam.
Rujukan
- Al-Majmuk
- Al-Anwar
- Asna al-Matalib
- Tuhfah al-Muhtaj
- Nihayah al-Muhtaj
- Mughni al-Muhtaj
- ‘Umdah al-Salik
- Hasyiah al-Bujairimi
- Hasyiah al-Jamal
- Hasyiah al-Syarqawi
- Hasyiah al-Baijuri
- Busyra al-Karim
- Nihayah al-Amal
- Hasyiah al-Tarmasi
- Al-Fiqh al-Manhaji
Selasa, 4 April 2023
PANDUAN HUKUM: WAQAF PADA أَنْعَمْتَ عَلَيْهِمْ KETIKA SOLAT
Alyasak Berhan
1) Ilmu Fawasil
Menurut
perbincangan Ilmu Fawasil (pengiraan ayat al-Quran), ulama ‘Adad
(ilmu Fawasil) telah bersepakat mengatakan bahawa jumlah ayat dalam
Surah al-Fatihah ada tujuh ayat.
Disebutkan oleh
Imam al-Syatibi :
وأمُّ القرءان الكلُّ سبعًا يعدُّها
ولكن عليهم أولًا يُسْقطُ المُثْر
“Surah
al-Fatihah semua ulama mengiranya 7 ayat,
namun عليهم yang pertama al-Makki dan al-Kufi (المُثْر) tidak mengiranya satu ayat.”
# المُثْر ialah rumuz (akronim) bagi ulama ‘Adad
Mekah dan Kufah.
Walau bagaimanapun, mereka
berselisih pendapat berkaitan tempat kiraan ayat-ayat tersebut. Disebutkan oleh
Syeikh Muhammad al-Mutawalli :
بسملة للمكِّ والكوفي تُعَدْ
“Basmalah
(Bismillah) dikirakan oleh al-Makki dan al-Kufi satu ayat,
selain mereka
berdua pula mengira عليهم yang pertama satu ayat.”
Sehubungan
dengan itu, menurut ulama ‘Adad Mekah (al-Makki) dan Kufah (al-Kufi), ayat
pertama Surah al-Fatihah ialah Basmalah (Bismillah) dan ayat ketujuh
Surah al-Fatihah pula ialah :
صِرَاطَ الَّذِينَ أَنْعَمْتَ عَلَيْهِمْ غَيْرِ
الْمَغْضُوبِ عَلَيْهِمْ وَلَا الضَّالِّينَ
Manakala menurut
ulama ‘Adad Madinah (al-Madani), Basrah (al-Basri) dan Syam (al-Syami)
pula, ayat pertama Surah al-Fatihah ialah
ٱلْحَمْدُ لِلَّهِ رَبِّ ٱلْعَـٰلَمِينَ dan ayat keenam ialah :
صِرَاطَ الَّذِينَ أَنْعَمْتَ عَلَيْهِمْ
dan ayat ketujuh
pula ialah :
غَيْرِ الْمَغْضُوبِ عَلَيْهِمْ وَلَا
الضَّالِّينَ
Justeru, bilangan ayat dalam Surah al-Fatihah berjumlah 7 ayat mengikut kesepakatan ulama ‘Adad. Oleh hal yang demikian, bilangan ayat ini tidak berubah kendatipun seseorang waqaf pada kalimah عَلَيْهِمْ أَنْعَمْتَ .
2) Waqaf dan Ibtida’
Menurut Imam Abu Amru al-Dani waqaf (berhenti) pada kalimah عَلَيْهِمْ أَنْعَمْتَ dikategorikan sebagai Waqaf Hasan. Manakala Imam al-Asymuni dan Syeikh al-Islam Zakaria al-Ansari pula mengkategorikannya sebagai Waqaf Jaiz. Namun, kedua-dua istilah ini mempunyai makna yang sama, iaitu kalimah yang elok waqaf padanya serta tidak elok ibtida' (memulakan bacaan) pada kalimah selepasnya kerana ia mempunyai perkaitan secara langsung dari sudut lafaz dan makna dengan kalimah sebelumnya.
3) Fiqah Mazhab
Syafi‘i
Menurut pandangan ulama fiqah Mazhab Syafi‘i, hukum waqaf (berhenti) pada عَلَيْهِمْ أَنْعَمْتَ adalah khilaf al-awla (bercanggah dengan yang lebih utama). Justeru, sunat bagi seseorang yang solat tidak waqaf pada عَلَيْهِمْ أَنْعَمْتَ .Namun, jika dia waqaf pada عَلَيْهِمْ أَنْعَمْتَ ,maka solatnya tidak batal.
Disebutkan dalam
Fath al-Muin :
والأولى أن لا يقف على (أَنْعَمْتَ عَلَيْهِمْ)
لأنه ليس بوقف ولا منتهى آية عندنا فإن وقف على هذا لم تسن الإعادة من أول الآية.
“Dan yang lebih utama, bahawa tidak diwaqafkan pada عَلَيْهِمْ أَنْعَمْتَ ,kerana sesungguhnya ia bukanlah tempat waqaf dan bukan penghabisan ayat di sisi kita (Mazhab Syafi‘i). Maka jika seseorang telah waqaf padanya, tidak disunatkan mengulanginya dari permulaan ayat.”
Bahkan, yang lebih
utama (awla) baginya adalah menyambung ayat seterusnya dan tidak
sunat mengulangi ayat tersebut dari awal sekalipun waqaf di situ
tidak elok mengikut uruf (kebiasaan yang diamalkan) qurra' (ulama
qiraat). Hal ini bagi meraikan pandangan sebilangan ulama yang mengatakan ia
termasuk dalam perbuatan mengulangi sebahagian rukun qauli (bacaan) yang
boleh membatalkan solat menurut mereka.
اليسع
Wallahu a‘lam.
Rujukan
- Tuhfah al-Muhtaj
- Nihayah al-Muhtaj
- Mughni al-Muhtaj
- Hasyiah al-Syabramallisi
- Hasyiah I‘anah al-Talibin
- Nihayah
al-Zain
- Fath al-‘Allam
- Al-Syams al-Munirah
-
Al-Muktafa
- Manar al-Huda
- Al-Maqsid
- Al-Qawl al-Wajiz
- Al-Muharrar al-Wajiz
- Basyir al-Yusr
- Taudhih al-Adillah
Ahad, 1 November 2020
HUKUM MAKAN DAGING MUSANG
Alyasak Berhan
Allah Taala berfirman:
وَيُحِلُّ لَهُمُ الطَّيِّبَاتِ
وَيُحَرِّمُ عَلَيْهِمُ الْخَبَائِثَ
"...dan dia menghalalkan bagi mereka segala benda yang baik, dan mengharamkan kepada mereka segala benda yang buruk
Menurut Imam al-Qurtubi, kalimah al-Khabaith dalam ayat di
atas adalah lafaz umum yang merujuk kepada segala benda-benda yang diharamkan
oleh syarak dan benda-benda yang kotor. Oleh kerana itu, diharamkan memakan
kala jengking, kelawar, cicak dan seumpamanya.
Hukum Makan Musang
Antara ulama Alam Melayu yang telah memfatwakan haram memakan
musang adalah seperti Syeikh Nuruddin al-Raniri (ulama Aceh kurun ke-17M), Syeikh Arsyad al-Banjari (ulama kurun ke-19M yang berasal
dari Banjarmasin), Syeikh Daud al-Fatani (ulama kurun ke-19M yang berasal dari
Patani), Syeikh Zainul Abidin bin Muhammad al-Fatani (Tuan Minal) (ulama kurun
ke-20M yang berasal dari Patani), Syeikh Muhammad Soleh bin Murid al-Rawi (ulama keturunan Rawa), Dato' Syed Alawi bin Tahir al-Haddad (Mantan
Mufti Johor. Berasal dari Hadhramaut), Syeikh Omar al-Khatib (Ulama
Singapura. Berasal dari Hadhramaut) dan T.G. Haji Chik bin Ahmad al-Qadahi.
Sehubungan dengan itu, menurut Syeikh Muhd Idris Abdul Rauf al-Marbawi, tha‘lab
yang halal dimakan adalah merujuk kepada spesis binatang yang pernah dilihatnya di taman unggas dan mergastua di Mesir. Rupanya seperti anjing berwarna
kemerah-merahan dan mempunyai hujung ekor yang berbulu lebat (lihat gambar).
![]() |
Tha‘lab |
Oleh kerana itu, Syeikh Arsyad al-Banjari telah membezakan hukum memakan tha‘lab dan musang, iaitu tha‘lab halal dimakan dan musang pula haram dimakan. Ini jelas menunjukkan bahawa tha‘lab dan musang adalah dua haiwan yang berbeza spesis dan hukum memakannya juga berbeza. Manakala musang jebat (قط الزباد) pula, dikategorikan oleh Syeikh Muhd Idris Abdul Rauf al-Marbawi sebagai binatang yang haram dimakan.
اليسع
Wallahu a‘lam.
![]() |
Musang Jebat |
![]() |
Musang Jebat (Viverra Zibetha) |